S y a r i a h & Law in MALAYSIA – Version 2.0 -

اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

  • Sumbangan Artikel

    Saya mengalu-alukan kepada semua pengunjung laman web ini untuk menyumbangkan sebarang artikel ilmiah berkaitan Undang-undang Syariah di Malaysia. Sila hantar artikel kepada email saya syafiqe@gmail.com. Sila tulis nama penuh anda berserta jawatan atau penuntut di institusi mana sekiranya ada.
  • KEMUKAKAN KEMUSYKILAN ANDA

    Sebarang pertanyaan berkaitan isu-isu melibatkan perundangan dan pentadbiran Islam di Malaysia samaada undang-undang keluarga Islam, Jenayah Islam, Perbankan dan Kewangan Islam dan sebagainya boleh kemukakan persoalan di bahagian "KEMUKAKAN PERSOALAN ANDA". Hanya soalan yang terpilih sahaja akan disiarkan.
  • UNDIAN

  • BLOG STATS

    • 316,195 pengunjung
  • web stats
  • Subscribe

Hisbah : Konsep Serta Pengamalannya di Malaysia

Posted by syafiqe on January 11, 2008

Oleh:

Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim

 

PENDAHULUAN

Institusi hisbah merupakan satu bentuk institusi yang terkenal dan pernah diamalkan semasa zaman permulaan Islam satu ketika dahulu. Meskipun istilah hisbah ini mungkin jarang didengar dan digunapakai secara meluas, namun tanpa disedari pengamalannya telah pun dilaksanakan di Malaysia tanpa kita sedari. Cuma kaedah perlaksanaannya sahaja yang mungkin berbeza sedikit berbanding ketika ianya mula diamalkan dahulu. Penulisan ini akan memberi penjelasan ringkas berkaitan konsep hisbah serta perlaksanaannya di Malaysia kini.

TAKRIFAN HISBAH

Dalam meneliti takrifan hisbah, penulis akan mengungkai pentakrifannya berdasarkan kepada bahasa dan juga istilah. Dari segi bahasa, Ibn Manzur dalam kitab Lisan al-Arab memberi pengertian hisbah merupakan kata terbitan (masdar) daripada ihtisabika al-’ala Allah yang membawa maksud mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah. Di dalam kitab ’Muhadarah Fi Nizam Al-Qada’ Fi Al-Islam menjelaskan hisbah bermakna ihtisab iaitu meneliti, mentadbir, melihat, mencegah atau menahan seperti mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran atau mendapat balasan seperti seseorang melakukan kebaikan untuk mendapat balasan daripada Allah. Takrifan ini turut digunapakai oleh Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab namun ianya turut dikaitkan dengan makna sangkaan (zan).

Dari segi istilah pula, al-Mawardi dalam kitab beliau yang terkenal al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan hisbah ialah melaksanakan tugas keagamaan iaitu menyeru melakukan ma’aruf (kebaikan) yang jelas jika ternyata meninggalkan dan mencegah melakukan kemungkaran yang jelas jika ternyata dilakukan. Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum ad-Din berpandangan hisbah sebagai satu gambaran yang lengkap dan menyeluruh tentang perintah melakukan ma’aruf dan mencegah mungkar. Pandangan ini semua merupakan pandangan daripada ulama’ dan ilmuwan silam.

Bagi pandangan ulama’ serta ilmuwan moden pula, mereka lebih melihat hisbah sebagai satu bentuk institusi di mana perlaksanaannya adalah di bawah satu badan atau institusi tertentu. Muhamad bin Abdul Qadir al-Mubarak sebagai contoh menyatakan hisbah ialah satu badan pengawasan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengawasi kegiatan individu di dalam perkara yang berkaitan dengan akhlak, agama dan ekonomi (kehidupan sosial secara umumnya) dengan tujuan mengekalkan keadilan dan kemuliaan sebagaimana yang dianjurkan oleh syariat Islam dan bersesuaian pula dengan suasana persekitaran dan masa. Pandangan ini lebih khusus berbanding pandangan ulama’ silam yang lebih umum di mana mereka tidak meletakkan perlaksanaan hisbah di bawah satu badan atau institusi.

DALIL DAN HUKUM HISBAH

Terdapat banyak dalil syarak sama ada daripada Al-Quran, al-Sunnah, Ijma’, Qias dan sebagainya yang menerangkan berkaitan konsep hisbah. Antara dalil yang masyhur ialah seperti berikut:

  1. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Imran ayat 104 yang bermaksud ”Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya
  2. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud ”Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik”
  3. Sabda Rasullulah S.A.W yang bermaksud “Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran,hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya.Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya.Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman”[MUSLIM]

Terdapat banyak lagi dalil lain yang terdapat daripada Al-Quran, Hadith dan juga Ijma’ yang menyokong pensyariatan hisbah. Kesemua dalil tersebut secara jelas menunjukkan hisbah merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Persoalannya kini adakah kewajipan melaksanakan hisbah itu merupakan satu suruhan wajib aini (fardhu ain) atau sekadar wajib kifaie (fardhu kifayah)? Jika diperhatikan berdasarkan penafsiran ayat al-Quran di dalam Surah Al-Imran ayat 104 secara jelas bahawa seruan kepada kebaikan, menyuruh melakukan ma’ruf dan mencegah mungkar ini hanya melibatkan sebahagian umat Islam sahaja. Dengan itu, ia merupakan wajib kifaie di mana apabila dilakukan oleh seseorang atau sebahagian sahaja daripada anggota masyarakat maka gugurlah kewajipan dan dosa anggota masyarakat tersebut.

Walaubagaimanapun, hukum asal wajib kifaie ini boleh bertukar kepada wajib aini berdasarkan keadaan berikut:

  1. Apabila kemungkaran hanya diketahui oleh orang tertentu maka dia ketika itu wajib melakukan hisbah. Ini kerana wajib kifaie tidak akan tertegak kecuali melaluinya
  2. Apabila kemungkaran itu tidak dapat dicegah kecuali oleh orang yang tertentu. Misalnya seperti sekiranya kemungkaran itu berlaku dikalangan tokoh dan pemimpin dan rakyat biasa tidak boleh mencegahnya, maka ketika itu orang yang mampu melakukan hisbah kepadanya wajib melaksanakannya.
  3. Hisbah menjadi wajib aini bagi orang yan dilantik dan diberi kekuasaan oleh Allah untuk menguruskan kaum muslimin. Ini juga meliputi mereka yang telah diberi tanggungjawab oleh pemimpin negara untuk melaksanakan hisbah di kalangan masyarakat.

Jelaslah di sini bahawa walaupun hukum asal hisbah itu adalah wajib kifaie namun ianya adalah bersifat fleksibel dan boleh berubah kepada hukum lain. Kita perlu sentiasa bijak dalam menilai setiap hukum itu supaya sentiasa fleksibel dan sesuai dengan keadaan, kemampuan pelaku hisbah dan bentuk kesalahan yang dilakukan.

SEJARAH PERKEMBANGAN HISBAH

Amalan hisbah telah lahir dan berkembang semenjak zaman awal kemunculan Islam itu lagi iaitu pada zaman Rasullulah S.A.W atau lebih tepat ketika tertubuhnya kerajaan Islam di Madinah. Pada waktu tersebut, gelaran untuk mereka yang menjalankan hisbah ialah petugas pasar (al-amil ala al-suq) atau penyelias pasar (sahib al-suq) yang bertanggungjawab menyelia dan mengawasi perjalanan perniagaan dan menentukan timbangan dan sukatan dalam urusniaga. Sebagai contoh, Baginda telah melantik Sa’id bin Sa’id bin al-’As sebagai penyelia pasar di kota Mekah, sementara di kota Madinah pula beliau telah melantik Saidina Umar al-Khatab sebagai penyelianya.

Selepas kewafatan Rasullullah S.A.W tugas menjalankan hisbah ini diteruskan lagi oleh Khalifah Rasyidin. Terdapat riwayat menyatakan bahawa saidina Umar al-Khatab pernah memukul pemilik binatang yang membawa muatan yang berlebihan sehingga menyiksa binatang tersebut. Malah beliau juga mengawasi kegiatan perniagaan di pasar dan memukul penjual yang menjual di kaki lima jalan sehingga mengganggu lalulintas dan beliau juga pernah mencurahkan susu yang bercampur dengan air. Saidina Uthman pula memberi perhatian dengan mengawasi kemudahan awam dan pasar-pasar. Manakala saidina Ali Abi Thalib pula meninjau keadaan pasar dan menasihati penjual supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah, memperelokkan urusan jual beli dan mencukupkan timbangan dan sukatan. Selain itu beliau juga membakar rumah-rumah yang menjual arak.

Ketika zaman kerajaan Umayyah, institusi hisbah semakin berkembang selaras dengan tuntutan masyarakat ketika itu dan berkembangnya jajahan takluk Islam. Tugas menjalankan hisbah ketika itu masih lagi dipegang oleh pemerintah. Namun terdapat juga pembantu-pembantu yang dilantik bagi membantu penyeliaan pasar-pasar dan menawasi moral masyarakat. Malah pada zaman akhir pemerintahan Umayyah, panggilan muhtasib telah digunakan bagi menggantikan panggilan petugas di pasar (al-amil al-suq) atau penyelia pasar (sahib al-suq).

Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah pula, institusi hisbah telah diasingkan daripada institusi lain dan ini memberi ruang kepada muhtasib untuk mentadbir insitusi ini secara penuh sambil dibantu oleh pembantu yang dikenali sebagai ’arif’ dan ’amin’.

Zaman Fatimiyyah pula menyaksikan instistusi hisbah begitu ketara sekali peranannya sebagai penguatkuasa peraturan dan undang-undang. Muhtasib bukan sahaja bertanggungjawab memeriksa di pasar dan menentukan sukatan yang betul, malah juga bertugas memastikan pemandu kenderaan pengangkutan seperti kereta kuda dan keldai tidak membawa muatan berlebihan. Muhtasib juga bertugas mengawasi akhlak masyarakat supaya sentiasa terjaga dan memastikan setiap orang berpakaian sopan. Bidang kuasa muhtasib semakin berkembang dan meluas sehingga pasukan polis dibentuk untuk melaksanakan arahan dan hukumannya.

INSTITUSI HISBAH KONTEKS SEMASA DI MALAYSIA

Dapat diperhatikan hasil perbincangan sebelum ini, didapati pelaksanaan hisbah itu pada zaman permulaan Islam hanyalah tertumpu kepada tanggungjawab pemerintah untuk memantau dan melakukan rondaan di pasar-pasar dan lebih melibatkan soal timbangan serta sukatan atau secara mudah hisbah hanya tertumpu kepada pengawalan daripada aspek jual beli sahaja. Kemudian konsep hisbah telah mula berubah dengan ketara sejak kerajaan Abasiyyah dengan peranannya telah dibentuk dibawah satu institusi yang khusus. Malah bidang kuasanya telah lebih berkembang dengan tanggungjawab yang lebih besar iaitu untuk menegakkan undang-undang dan memelihara moral rakyat.

Oleh sebab keadaan masa dan suasana telah berubah, negara Islam umumnya tidak lagi menggunakan istilah muhtasib atau hisbah bagi institusi yang ditugaskan untuk memastikan rakyat mematuhi peraturan dan undang-undang, tetapi mereka mula menggunakan istilah seperti shurtah atau polis. Di Malaysia, meskipun istilah hisbah tidak digunapakai, namun dari segi perlaksanaannya sudahpun menepati konsep sebenar hisbah itu sendiri. Pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan memelihara keamanan di Malaysia ialah Polis di-Raja Malaysia. Ianya melibatkan segala yang terkandung di bawah peruntukan yang digubal oleh Parlimen seperti yang terdapat di dalam Kanun Keseksaan. Peranan pihak polis adalah melibatkan di peringkat persekutuan. Di peringkat negeri pula ia dijalankan oleh Jabatan Agama Islam di setiap negeri. Setiap Jabatan Agama pula menubuhkan bahagian penguatkuasaan yang berbidangkuasa melaksanakan tugas berdasarkan Enakmen atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah di setiap negeri. Dalam melaksanakan tugas ini ia menjadi tanggungjawab Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri (PPA) yang dilantik oleh pihak pemerintah negeri.

Di samping itu, jika ketika zaman permulaan Islam lebih menumpukan hisbah dalam bentuk kawalan semasa proses jual beli, di Malaysia turut terdapat perundangan dan kawalan sedemikian di bawah Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna. Ini merupakan sebahagian sahaja contoh kawalan yang dilaksanakan oleh pemerintah bagi menjaga dan memelihara kemaslahatan rakyat. Walauapapun bentuk pengawalan yang cuba dilaksanakan pihak pemerintah, selagi ianya bertujuan untuk mencegah kemungkaran dan menegakkan ma’ruf, maka ianya boleh dianggap sebagai hisbah. Jelas, di Malaysia institusi hisbah sudahpun terlaksana meskipun ianya tidak menggunakan istilah hisbah secara khusus. Malah konsep hisbah telah berjaya dipraktikkan oleh kerajaan di Malaysia dengan penubuhan institusi-institusi yang khusus dalam menjaga dan memelihara kepentingan rakyat. Malah setiap institusi tersebut dibahagikan bidangkuasanya supaya lebih mudah dan praktikal dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Jika diteliti hasil penjelasan penulis sebelum ini, dapat dilihat bahawa daripada segi takrifan hisbah itu sendiri kita dapati terdapat perbezaan yang ketara. Ini dapat dilihat daripada dua pandangan yang berbeza iaitu antara ilmuwan silam dan juga ilmuwan moden. Ilmuwan silam lebih umum mentakrifannya berkaitan hisbah dengan melihat sesiapa sahaja perlu melaksanakan tugas hisbah. Manakala bagi ilmuwan moden pula lebih melihat hisbah dalam konteks yang lebih khusus dengan ’menginstitusikan’ hisbah itu di bawah bidang kuasa sesebuah badan atau institusi yang ditubuhkan khusus oleh badan pemerintah sebagai penggerak hisbah.

Pada pandangan penulis kedua-dua pendekatan ini perlu diterima pakai meskipun kita kini berada di zaman yang moden. Tidak semestinya zaman moden hanya boleh menerima pakai takrifan pandangan ilmuwan moden sahaja. Malah jika pandangan ilmuwan silam juga mempunyai maslahah yang tertentu untuk dilaksanakan, maka ia wajar diterima juga. Jika kita hanya menerima pakai takrifan ilmuwan moden yang mengatakan hisbah hanya melibatkan tanggungjawab institusi tertentu yang ditugaskan melaksanakannya, maka ianya tidak menepati konsep sebenar hisbah pada asalnya iaitu ianya juga perlu melibatkan tanggungjawab individu muslim itu sendiri. Maka dalam hal ini, pendekatan ilmuwan silam yang melihat hisbah dengan lebih umum boleh diterima pakai. Setiap perbezaan dalam takrifan ini adalah penting untuk membentuk kaedah serta acuan kita sendiri dalam melaksanakan konsep hisbah itu sendiri agar bertepatan dengan konsep AMR BI AL-MA’RUF WA AL-NAHYI ‘ANI AL-MUNKAR.

About these ads

18 Responses to “Hisbah : Konsep Serta Pengamalannya di Malaysia”

  1. MUHAMMAD FARID BIN HUSSAIN said

    asalamualaikum saya ingin mengetahui peranan institusi hisbah yang di amalkan di malaysia

  2. syafiqe said

    W’salam. Terima kasih atas soalan tersebut. Untuk makluman saudara, konsep hisbah itu merupakan salah satu cabang dalam perbincangan aspek sistem kehakiman Islam. Malah jika dikaji dalam aspek sistem pentadbiran ISlam juga meletakkan hisbah sebagai salah satu aspek utama dalam pentadbiran ISlam seperti juga konsep syura dll.

    Maka peranan institusi Hisbah di Malaysia seperti dijelaskan oleh saya dalam penulisan di atas tidaklah merujuk secara khusus kepada nama hisbah. Tetapi konsepnya telahpun diaplikasikan mengikut kesesuaian di Malaysia.

    Hisbah seperti dijelaskan merupakan satu bentuk penguatkuasaan. Maka di Malaysia terdapat agensi penguatkuasa seperti polis, KHEDN, badan pencegah rasuah dan lain2 jabatan penguatkuasa termasuklah juga penguatkuasa jabatan agama.

    Secara jelas, peranan mereka semua bagi memelihara dan mengawal etika masyarakat sama seperti tujuan hisbah ketika zaman perkembangan Islam dulu. Nama hisbah tidak wujud di mlaysia namun konsepnya telahpun dipraktikkan di Malaysia.

    wallua’lam

  3. muhammad farid bin hussain said

    terima kasih di atas komen tuan terhadap soalan saya.

  4. noranizah bt mohd nawi said

    assalamualaikum ustaz saya nak tanya apakah permasalahan yang berlaku akibat hisbah?

  5. juajua said

    salam,,, sbnrnyer sy fikir hisbah wujud di negara arab sahaja,, tp sy slh sangka…. harap encik ley update lg web in supaya lbih meluas.. sbb hisbah adalah salah satu tjuk asgment sy dlm subject islamic economy,,

  6. juajua said

    erm de x web pasal hisbah tp dlm translation in english?

  7. Amrul As said

    Bolehkah polis wanita beragama Islam yg tidak bertudung, dianggap sedang melaksanakan tugas hisbah?
    Atau bolehkah pegawai2 penguatkuasa beragama Islam yg lain yg tidak menunaikan solat juga dianggap sedang melaksanakan tugas hisbah di Malaysia???

  8. maryam said

    assalamualaikum…
    saya nak tanya ckit.Ape isu yang dapat dikaitkan antara hisbah dan perakaunan.. boleh minta tuan bagi contoh supaya lebih jelas lg.

  9. Mohd Fuad said

    Assalamu`alaikum,

    Tahniah atas tulisan yang baik ini.

    Apa pandangan saudara dengan perlaksanaan Takaful di Malaysia sekarang ini? Perlukah diwujudkan seorang Qadhi atau badan seperti Hisbah untuk memantau pelaksanaannya yang dilihat sudah agak terpesong daripada beberapa prinsip asal penubuhannya?

    Wassalam.

  10. izzah said

    assalamualaikum en.syafieq…saya ingin mengetahui bbrp rujukan2 tertentu yang banyak membicarakan mengenai hisbah ini samada rujukan dalam bahasa melayu,inggeris atau arab.
    terima kasih

  11. nazirul zawir said

    assalamualaikum..

    blh tak senaraikan institusi/badan/agensi/jabatan (Kerajaan @ Bukan Kerajaan) yang ada di Malaysia yang menjalankan fungsi “Hisbah” selain polis dan Jabatan Agama Islam

  12. yana lyana said

    apakah fungsi sebenar al-hisbah di malaysia … ???

  13. assalamualaikum.ustaz nk tnye la..bley terangkan peranan hisbah kepada masyarakat

  14. Azrin said

    Assalamualaikum wbt,

    En. Syafiq,
    Tahniah atas penghasilan karya yang boleh dikira cukup baik. Namun demikian, saya mempunyai beberapa persoalan. Bolehkah dikatakan institusi-institusi penguatkuasaan di Malaysia ini sebagai Hisbah, sedangkan dasar pembentukannya tidak menyamai Hisbah? Yang sama hanya fungsi iaitu sebagai badan untuk mengajak kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar sahaja, sedangkan kaedah dan etika pelaksanaan serta prinsip-prinsip yang didukungnya adalah sama sekali berbeza? Ini boleh diumpamakan seperti buah. Adakah boleh dikatakan buah delima dan buah zaitun itu sama hanya kerana rupanya? Sedangkan rasa, jenis dan pokoknya adalah berbeza?

    Oleh itu, saya berpandangan institusi-institusi penguatkuasaan di Malaysia ini harus diteliti semula agar segala prinsip yang terkandung dalam pelaksanaan Hisbah dapat dilaksana kembali. JIka ini dapat dilakukan, barulah seiring Hisbah yang wujud pada zaman Islam dahulu dengan institusi penguatkuasaan masa kini dan bolehlah dikatakan institusi penguatkuasaan masa kini adalah institusi yang menyamai Hisbah.

    Saya berpandangan, masalah yang berlaku kini dalam kalangan institusi penguatkuasa seperti SPR, KPDN KK, Mahkamah dan jabatan agama adalah disebabkan mereka hanya melaksanakan tugas sahaja tanpa disertai penghayatan yang tinggi terhadap prinsip-prinsip pengawasan dalaman yang ditekankan dalam Hisbah.

    Sekian, saya mengharap perbincangan akademik yang lebih terbuka daripada saudara. Sekian, Wallahu’alam.

  15. ilham fitrah said

    bagus buat blog cam ni lain kli buat larrr lagi………

  16. Mustafa Amin said

    Assalamualaikum…Tuan bolehkan saya ambil hasil daripada tulisan ini

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers

%d bloggers like this: