S y a r i a h & Law in MALAYSIA – Version 2.0 -

اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

  • Sumbangan Artikel

    Saya mengalu-alukan kepada semua pengunjung laman web ini untuk menyumbangkan sebarang artikel ilmiah berkaitan Undang-undang Syariah di Malaysia. Sila hantar artikel kepada email saya syafiqe@gmail.com. Sila tulis nama penuh anda berserta jawatan atau penuntut di institusi mana sekiranya ada.
  • KEMUKAKAN KEMUSYKILAN ANDA

    Sebarang pertanyaan berkaitan isu-isu melibatkan perundangan dan pentadbiran Islam di Malaysia samaada undang-undang keluarga Islam, Jenayah Islam, Perbankan dan Kewangan Islam dan sebagainya boleh kemukakan persoalan di bahagian "KEMUKAKAN PERSOALAN ANDA". Hanya soalan yang terpilih sahaja akan disiarkan.
  • UNDIAN

  • BLOG STATS

    • 316,346 pengunjung
  • web stats
  • Subscribe

APLIKASI KONSEP MASLAHAH DALAM PENENTUAN HAK HADHANAH

Posted by syafiqe on February 6, 2008

 

Aspek utama dalam penentuan hak hadhanah (memelihara) yang melibatkan kanak-kanak yang belum mumayiz oleh hakim adalah dengan melihat kepada aspek yang paling utama iaitu kebajikan anak itu sendiri. Pada dasarnya sebaik sahaja berlaku perceraian, sememangnya Islam meletakkan ibu sebagai golongan yang paling utama yang berhak mendapat hak hadhanah kanak-kanak yang belum mumayiz.

Ibu adalah layak kerana mereka ini mempunyai wilayah hadhanah dan penyusuan dan dilihat lebih penyayang, pengasih, penyabar, simpati, lemah lembut dan dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang dalam mendekati kanak-kanak. [Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, Juz 8, hal.339; al-Syaibini, Mughni Muhtaj, hal. 452]. Malah jika diperhatikan peruntukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia juga memberi hak tersebut kepada ibu [Lihat Seksyen 82 Akta Undang-undang Keluarga Islam WP 1984].

Namun, apa yang menjadi keutamaan sebenarnya bagi mahkamah memutuskan mereka yang berhak mendapat hak hadhanah adalah dengan melihat aspek kepentingan atau kebajikan anak itu yang lebih utama. Ini kerana sekiranya ibu itu yang mendapat hak tersebut tetapi gagal untuk melaksanakannya dengan baik hingga boleh mengabaikan kebajikan anak tersebut, maka mahkamah boleh memerintahkan hak hadhanah itu ditarik balik. Maka dalam menentukan aspek kebajikan anak ini, mahkamah akan mengaplikasikan konsep maslahah dalam membuat keputusan.

KONSEP UMUM MASLAHAH

Secara literal, dalam bahasa Arab Maslahah beerti sesuatu yang tidak mengandungi keburukan. Maslahah juga ditakrifkan sebagai manfaah, iaitu kebaikan dan faedah. Maka, jika diteliti sebenarnya kebajikan bolehlah ditakrifkan juga sebagai kepentingan. Maka kebajikan anak bolehlah dianggap juga sebagai kepentingan anak.

Maslahah menurut lafaz hakiki bermaksud sesuatu dalam keadaan sempurna untuk tujuan apa benda itu digunakan. Contohnya pen faedahnya adalah untuk menulis. Menurut lafaz majazi iaitu perbuatan yang mendatangkan kebaikan. Contohnya belajar akan mendapat ilmu dan ilmu memberi faedah kepada penuntutnya.

Secara konseptual, Imam Ghazali dalam Kitab al-Mustasfa mendefinisikan maslahah sebagai kefahaman asas tentang penghasilan kebaikan dan penolakan keburukan dan merujuk kepada lima objektif syarak iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. [Jil. 1, hal. 216]

Kata Al-Khawarizmi dalam kitab al-Maqasid al-Ammah li al-Syariah al-Islamiyyah pula menyatakan maslahah sebagai: (Pemeliharaan terhadap objektif syarak dengan menghindar keburukan daripada makhluk). Maka, kebajikan boleh dicapai menerusi dua cara iaitu menghasilkan kebaikan dan mengelakkan keburukan atau salah satu daripadanya.

APLIKASI MASLAHAH MENERUSI MAQASID SYARIAH

Secara dasarnya, bagi mencapai tahap maslahah yang dikehendaki agar kebajikan kanak-kanak itu tidak terabai, mahkamah akan merujuk kepada maqasid syariah (objektif syariah) merangkumi tiga iaitu :

a) Keperluan asas (maslahah daruriyyah)

Kepentingan yang terhenti ke atasnya kehidupan manusia sama ada dalam persoalan keduniaan atau keagamaan. Sekiranya gugur, maka kelangsungan maslahah dunia akan terganggu malah membawa kerosakan dalam kehidupan, hilangnya kejayaan dan akan membawa kerugian yang besar. [al-Syatibi, al-Muwafaqat, hal. 157]. Dalam kes penentuan hak hadhanah, bagi keperluan asas (maslahah daruriyyah) ianya dapat dilihat dalam lima aspek utama iaitu melibatkan soal agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.

i. Kebajikan Menjaga Agama ( Daruriyyah al-Din)

Menurut Seksyen 82(a) Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melatakkan syarat Islam bagi seorang penjaga demi menjaga kebajikan agama kanak-kanak. Maka jika berlaku pasangan itu murtad, hakim akan memberi hak hadhanah kepada yang beragama Islam kerana bimbang akan terpengaruh dan merosakkan pegangannya jika diserahkan kepada yang telah keluar Islam.

Malah soal agama ini juga bukan melibatkan soal penjaga yang akan mendapat hak mestilah seorang Islam tetapi juga perlu diberi perhatian sekiranya penjaga itu beragama Islam, ia haruslah mampu untuk mendidik anak tersebut tentang Islam. Ini dapat dilihat misalnya dalam kes Tunku Mahmood Shah lwn Noor Faridah Sutherland Abdullah [(1997) JH XI (II) 165]. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati ibunya tidak mampu menyediakan pendidikan agama kerana beliau sendiri ialah saudara baru yang belum tahu selok-belok agama dan dalam ahli keluarganya hanya beliau sahaja yang memeluk Islam. Jika diberikan kepada ibu, kebajikan agama kanak-kanak akan terancam. Mahkamah memutuskan hak jagaan dua orang anak dikekalkan dalam jagaan plaintif.

ii. Kebajikan Menjaga Nyawa ( Daruriyyah al-Nafs)

Umumnya kanak-kanak tidak mampu berdikari, jika dibiarkan nyawanya akan terancam. Maka, syarak meletakkan syarat berkemampuan ke atas penjaga. Seperti mampu memberi nafkah yang cukup kepada anak.

Kebajikan nyawa termasuklah penyediaan tempat tinggal dan kediaman yang selamat. Kegagalan menyediakannya akan menyebabkan mafsadah atau kebajikan anak terancam kerana rumah berfungsi sebagai pelindung kapada segala bahaya.

Begitu juga dari aspek kesihatan kanak-kanak. Syarak memberikan hak kepada ibu menjaga kanak-kanak semasa sakit walaupun dalam jagaan bapa dan ibu diberi kelonggaran menjaga kanak-kanak di rumah bapa dengan syarat tidak berlaku perbuatan berdua-duakan antara bekas pasangan dan syarak juga membenarkan kanak-kanak ditempatkan di rumah ibu semasa sakit walaupun sebenarnya dalam jagaan bapa. Di sini, jelas menunjukkan kebajikan nyawa kanak-kanak diutamakan berbanding hak ibu bapa.

 

iii. Kebajikan Menjaga Akal ( Daruriyyah al-Aql)

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din mendefinisikan akal dari sudut kerohanian sebagai satu keupayaan untuk menggarap ilmu pengetahuan tentang hakikat segala hal dan berupaya menimbang segala baik dan buruk yang diperintahkan oleh hati. Penjagaan akal dilihat dari dua aspek iaitu negatif dan positif. Secara negatifnya seperti larangan mengambil minuman memabukkan dan makanan yang boleh merosakkan kesihatan akal. Secara positifnya seperti mendapatkan seberapa banyak maklumat dan pengetahuan. Penjagaan akal dikonotasikan dengan pendidikan. Apabila dikolerasikan dengan hadhanah, pendidikan menjadi mekanisme terbaik bagi proses perkembangan minda kanak-kanak.

Penjagaan emosi kanak-kanak juga dalam kategori maslahah daruriyyah khusus bagi hadhanah sahaja. Menurut Seksyen 82 (c), hak jagaan anak akan diberikan kepada mereka yang mampu memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak bagi memastikan emosinya terjaga.

iv. Kebajikan menjaga Keturunan (Daruriyyah al-Nasl)

Dalam hadhanah, tidak wujud hubung kait penjagaan keturunan dengan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak itulah yang dimaksudkan dengan keturunan. Dalam Islam, penjagaan keturunan diertikan sebagai menjauhi zina yang memberi implikasi dengan melahirkan anak tak sah taraf ( nasab ).

Ibn al-Subki menambah dalam kepentingan asas dengan memasukkan kebajikan menjaga maruah (al-‘Ird). Penjagaan maruah ini dilihat sebagai kesinambungan bagi penjagaan keturunan. Contohnya kanak-kanak yang diberi kepada seorang penjaga kemudian telah mencabul kehormatan seperti sumbang mahram dan rogol lantas mengancam maruahnya.

 

v. Kebajikan penjagaan Harta ( Daruriyyah al-Mal)

Penjagaan kebajikan harta kanak-kanak lebih melihat kepada konsep wilayah al-mal iaitu penguasaan menurut syarak yang diberikan kepada pihak yang mempunyai kuasa mentadbir ke atas harta pihak yang mempunyai kekurangan demi memelihara maslahahnya. Kuasa wali ini diberikan kepada bapa dan tidak kepada ibu meskipun ibu diberikan hak hadhanah. Dalam hadhanah tidak melibatkan pengurusan harta kanak-kanak tapi jika berlaku pencerobohan terhadap harta anak itu, maka perlu dielakkan demi menjaga kebajikannya.

 

b) Keperluan biasa (maslahah hajiyyah)

Iaitu suatu keperluan bagi menjamin kelegaan dan menghilangkan kesempitan yang pada kebiasaanya boleh menyebabkan manusia terdedah kepada kesusahan dan kesempitan tanpanya. Ia juga boleh dianggap sebagai sesuatu yang bersangkut-paut dengan kepentingan umum dan tidaklah sampai ke tahap darurah dan tidaklah pula sampai ke tahap mendatangkan kerosakan pada adatnya.

Dalam bab hadhanah, keperluan biasa bertujuan menjamin kelegaan kanak-kanak dan menghilangkan kesempitan seperti menyediakan makanan yang berzat bagi menjamin kelegaan kanak-kanak. Jika tidak dipenuhi, kelegaan ini akan hilang. Maka atas dasar itu, mahkamah berhak untuk mempertimbangkan semua perkara tersebut.

c) Keperluan mewah (maslahah tahsiniyyah)

Keperluan mewah adalah sebahagian daripada keperluan biasa kerana menjadi pelengkap bagi kedua-dua keperluan biasa dan asas. Keperluan mewah adalah seperti mengelokkan keadaan mereka dan menjadikannya serasi dengan kehendak maruah dan akhlak yang mulia seperti menjaga kebersihan, menutup aurat dan sebagainya. Jika tidak dijaga akan menyebabkan dipandang keji oleh manusia yang rasional tetapi tidak sampai ke tahap membantutkan kehidupan seseorang.

Dalam kes Safura binti Badaruddin lwn Azhar Arifin [(1999) JH XIII (2) 237], Mahkamah telah membandingkan kediaman plaintif dan defendan. Meskipun rumah defendan sekadar rumah sewa tetapi lebih selesa dan keselamatan terjamin. Berbeza dengan plaintif yang menyewa bilik bersama dengan orang lain yang berkeluarga. Kelihatan kedua-dua pihak dapat memenuhi keperluan asas kanak-kanak, tetapi defendan mempunyai keperluan mewah sebagai tambahan kepada keperluan asas. Keperluan mewah yang tidak dimiliki plaintif akan mencacatkan keperluan asas kanak-kanak.

PENENTUAN PRIORITI

Apa yang jelas, sekiranya berlaku pertembungan antara satu dengan yang lain, didahulukan keperluan asas atas keperluan biasa dan keperluan mewah, dan keperluan biasa atas keperluan mewah. [al-Syatibi, al-Muwafaqat, hal. 157]

Secara prinsipnya, ketiga-tiga objektif syarak adalah tidak berasingan malah saling menyempurnakan. Keperluan asas adalah asal bagi objektif syarak kerana adalah punca bagi keperluan biasa dan keperluan mewah. Maka sesiapa yang mencacatkan yang utama maka dia telah mencacatkan yang cabangnya. Manakala mencacatkan keperluan biasa dan keperluan mewah dianggap hampir mencacatkan keperluan asas. Keperluan asas dikatakan sebagai fardhu ain dan keperluan biasa dan mewah yang tahap pentingnya seperti kedudukan perkara-perkara sunat. [Hassan Hj Ahmad 2001].

Maka atas dasar inilah, apabila berlaku pertembungan antara kelima-lima keperluan asas, maka didahului penjagaan agama atas nyawa, nyawa atas akal, akal atas keturunan, keturunan atas harta. Dalam penentuan keutamaan antara ketiga-tiga teori kebajikan ini, al-Syatibi telah menyusun lima pendekatan:

I. Kepentingan asas sebagai asas keperluan biasa dan mewah.

II. Kerosakan keperluan asas akan merosakkan keperluan-keperluan lain

III. Kerosakan keperluan lain tidak semestinya merosakkan keperluan asas.

IV. Kerosakan keperluan biasa atau mewah kadangkala boleh merosakkan kepentingan asas.

V. Wajib menjaga keperluan biasa dan mewah bagi tujuan menjaga keperluan asas.

Secara kesimpulannya, meskipun ibu adalah golongan yang paling berautoriti ke atas hak hadhanah anak, namun ianya boleh berpindah kepada pihak lain sekiranya mahkamah berpandangan ianya demi memelihara kebajikan anak itu sendiri. Maka pertimbangan yang dirujuk oleh mahkamah adalah berdasarkan kepada aplikasi maslahah melibatkan aspek-aspek dalam maqasid syariah meliputi soal daruriyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Aspek daruriyyah yang perlu diambilkira meliputi soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka adalah jelas bahawa semua konsep serta aspek ini telah diaplikasikan secara berkesan oleh mahkamah bagi menentukan hak hadhanah kepada pihak yang berhak.

About these ads

3 Responses to “APLIKASI KONSEP MASLAHAH DALAM PENENTUAN HAK HADHANAH”

  1. LINA said

    KOK GAK SESUAI APLIKASI YANG SAYA MAKSUD

  2. amir said

    APLIKASI KONSEP MASLAHAH DALAM PENGHAKIMAN KES FASAKH

  3. amir said

    Assalamualaikum…
    boleh saya tahu..
    apa yang dikatakan dengan “APLIKASI KONSEP MASLAHAH DALAM PENGHAKIMAN KES FASAKH” ?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers

%d bloggers like this: