S y a r i a h & Law in MALAYSIA – Version 2.0 -

اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

  • Sumbangan Artikel

    Saya mengalu-alukan kepada semua pengunjung laman web ini untuk menyumbangkan sebarang artikel ilmiah berkaitan Undang-undang Syariah di Malaysia. Sila hantar artikel kepada email saya syafiqe@gmail.com. Sila tulis nama penuh anda berserta jawatan atau penuntut di institusi mana sekiranya ada.
  • KEMUKAKAN KEMUSYKILAN ANDA

    Sebarang pertanyaan berkaitan isu-isu melibatkan perundangan dan pentadbiran Islam di Malaysia samaada undang-undang keluarga Islam, Jenayah Islam, Perbankan dan Kewangan Islam dan sebagainya boleh kemukakan persoalan di bahagian "KEMUKAKAN PERSOALAN ANDA". Hanya soalan yang terpilih sahaja akan disiarkan.
  • UNDIAN

  • BLOG STATS

    • 316,310 pengunjung
  • web stats
  • Subscribe

SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN SISTEM PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA

Posted by syafiqe on March 26, 2008

Apabila membicarakan tentang sistem perbankan Islam, secara tidak langsung ia akan melibatkan prinsip transaksi yang berlandaskan Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa transaksi Islam telah dipraktikkan di Tanah Melayu seawal abad ke-16 lagi. Prinsip ini dapat dilihat di dalam undang-undang Melaka.[i] Apa yang jelas, kebanyakan negeri-negeri ketika zaman sebelum kemerdekaan turut dipengaruhi oleh undang-undang Melaka termasuklah yang melibatkan aspek transaksi Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung.[ii] Pelaksanaan undang-undang Islam di negeri-negeri tersebut berterusan sehinggalah campur tangan Inggeris.[iii]

Walaubagaimanapun, undang-undang Melaka tidak banyak menyentuh perkara berkaitan dengan muamalat. Ia hanya dinyatakan dalam beberapa fasal sahaja iaitu bermula daripada fasal 29 hingga fasal 34.2.[iv] Namun apa yang menarik, ia ada memperuntukkan dalam satu fasal tentang larangan riba’ dalam soal jual-beli atau pertukaran iaitu dalam fasal 30 yang menyentuh undang-undang tentang penjualan dan larangan terhadap riba’ (usury) dalam urusniaga.

Satu lagi bukti pemakaian prinsip transaksi Islam adalah amalan jual janji (conditional sale). Salleh Buang menyifatkan jual janji menyerupai prinsip transaksi Islam yang dikenali sebagai al-bay’ al-Wafa’[v] iaitu jualan dengan pilihan untuk membeli balik.[vi] Masyarakat Melayu terutamanya kepada para petani di Kedah, Perlis, utara Perak dan Kelantan sebelum zaman prapenjajah lagi telah mengamalkannya.[vii] Amalan tersebut diamalkan kerana mereka tidak mahu terlibat dengan pembiayaan pinjaman yang berasaskan bunga yang diuruskan oleh institusi ceti pada waktu berkenaan.[viii]

Budaya akad jual janji ini telah mendapat perhatian dalam perundangan oleh hakim-hakim Inggeris dalam keputusan yang dibuat. Dalam kes Tengku Zaharah lwn. Che Yusuf[ix], Hakim Briggs memutuskan bahawa tujuan transaksi jual janji ialah untuk mendapatkan kemudahan kredit (hutang) dan memberikan kepada pemberi pinjaman (pemberi tanah) bayaran gantirugi yang sepadan tanpa terlibat dengan amalan bunga (usury) yang mana orang Islam dilarang terlibat dengannya.[x]

Manakala dalam kes Mohamed Isa lwn. Haji Ibrahim[xi], Hakim Azmi telah membuat kenyataan yang sama dan amalan yang menjadi kebiasaan para petani Kedah pada dasarnya ialah transaksi jual janji di mana penjual mempunyai hak untuk membeli semula hartanya dan untuk membolehkan pembeli (peminjam wang) mengambil manfaat daripada transaksi yang sah menurut undang-undang Islam. Apa yang jelas, amalan jual janji ini sehingga kini masih lagi diterimapakai dan diiktiraf oleh undang-undang Malaysia dan diperuntukkan dalam Seksyen 4 (2) Kanun Tanah Negara.[xii]

Dapat dirumuskan bahawa ketika zaman sebelum kedatangan penjajah sememangnya tidak wujud satu sistem perbankan Islam yang komprehensif. Malah sebuah institusi perbankan yang khusus juga masih belum wujud. Masyarakat ketika itu hanyalah mempraktikkan transaksi-transaksi ringkas dalam urusan harian mereka seperti jual beli, sistem tukar barang (barter), jual janji dan lain-lain. Walaubagaimanapun, setelah kedatangan penjajah Barat pada abad ke-19, barulah sistem perbankan mula diperkenalkan.

Institusi perbankan pertama sekali di Malaysia ialah ‘The Chartered Merchant Bank of India, London and China‘ yang telah ditubuhkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1859. Bank ini diwujudkan untuk membiayai aktiviti perlombongan dan perindustrian serta menawarkan beberapa kemudahan kewangan bagi perdagangan antarabangsa serta kemudahan lain pada masa itu.[xiii] Namun, ketika itu masih belum wujud satu institusi yang khusus mengaplikasikan konsep sistem perbankan Islam di Malaysia.

Idea penubuhan perbankan Islam di Malaysia berlangsung secara beransur-ansur. Penubuhannya adalah hasil daripada pengalaman yang dilalui oleh beberapa institusi kewangan Islam lain di Malaysia.[xiv] Institusi yang pertama sekali yang mengamalkan konsep transaksi Islam ialah Lembaga Tabung Haji (LTH) atau sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji.[xv] Ia ditubuhkan pada tahun 1969 dan berfungsi untuk membolehkan orang-orang Islam menyimpan wang secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji dan melibatkan diri dalam bidang penanaman modal dalam lapangan perusahaan, perdagangan, perladangan dan hartanah melalui cara yang halal di sisi Islam.[xvi]

Seterusnya, ekoran daripada kejayaan penubuhan bank-bank Islam di beberapa buah negara seperti di Qatar, Mesir, Pakistan dan Iran, umat Islam di Malaysia juga telah menyuarakan hasrat supaya bank Islam ditubuhkan di negara ini.[xvii] Malah penulis berpandangan perkembangan perbankan Islam pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 adalah kesan daripada proses islamisasi yang berlaku hasil daripada tokoh-tokoh reformis Islam[xviii] ketika itu yang memberi impak kepada masyarakat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam secara total dalam kehidupan mereka meliputi soal politik, sosial dan ekonomi.[xix] Maka kerana itulah juga wujud gelombang pembaharuan dikalangan umat Islam untuk menubuhkan satu sistem perbankan Islam.

Oleh itu di Malaysia, beberapa pihak telah menyeru kerajaan menubuhkan sebuah bank Islam dan meminta kerajaan mengambil tindakan segera menggubal undang-undang bagi membolehkan penubuhan bank dan institusi kewangan yang beroperasi berlandaskan prinsip Islam.[xx] Maka pada 30 Julai 1981, kerajaan telah melantik Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam (National Steering Committee) yang dipengerusikan oleh YM Raja Tan Sri Mohar bin Raja Badiozaman dan LTH dilantik sebagai urusetia.[xxi]

Pada bulan Julai 1982, Jawatankuasa tersebut telah menyerahkan laporan mereka kepada kerajaan. Disamping mencadangkan satu kerangka asas untuk sistem perbankan Islam di Malaysia, ia juga membuat beberapa cadangan untuk pelesenan dan penyeliaan serta pengawasan sebuah bank Islam.[xxii] Akhirnya bagi membuka jalan untuk penubuhan bank Islam di Malaysia, kerajaan telah meluluskan Akta Bank Islam 1983 (ABI)[xxiii] dan mula berkuatkuasa pada 7 April 1983.[xxiv]

Dengan penggubalan Akta Bank Islam 1983, maka Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah ditubuhkan pada Julai 1983 sebagai bank Islam pertama di Malaysia dan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.[xxv] Objektif utama penubuhannya ialah untuk berusaha menjalankan operasi sebagai bank perdagangan berlandaskan hukum Syarak dan menyediakan kemudahan kepada semua rakyat negara ini.[xxvi] Seperti bank-bank lain, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa di bawah Akta Bank Islam untuk mengawal selia bank Islam.

Sejajar prinsip dan matlamat BNM untuk merealisasikan sistem perbankan Islam di seluruh Malaysia, Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) telah diperkenalkan pada Mac 1993. Melalui skim ini, institusi perbankan konvensional dibenar menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam dengan menggunakan prasarana yang sedia ada termasuk kakitangan dan cawangan.[xxvii] Buat permulaan, skim ini dianggap satu perintis yang melibatkan tiga buah bank.[xxviii]

Pada tahun 1998, BNM telah menjalankan satu kajian semula terhadap perbankan Islam dan mendapati penggunaan istilah “SPTF” tidak mencerminkan penampilan sebenar operasi perbankan Islam yang dilaksanakan oleh institusi perbankan. Oleh itu BNM telah menggantikan istilah “SPTF” dengan “Skim Perbankan Islam (SPI)” berkuatkuasa 1 Disember 1998.[xxix] Perkembangan sistem perbankan Islam semakin berkembang apabila pada 1 Oktober 1999, sebuah lagi bank Islam bernama Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)[xxx] ditubuhkan. Ia dianggap sebagai bank Islam kedua di Malaysia muncul setelah adanya usaha kerajaan untuk memperkukuhkan sektor perbankan Islam bagi memenuhi pertambahan permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan perbankan Islam.[xxxi]

Dapatlah dirumuskan di sini bahawa perkembangan sistem perbankan Islam di Malaysia adalah berdasarkan dua bentuk utama iaitu institusi perbankan Islam secara total seperti BIMB dan BMMB dan yang kedua ialah institusi perbankan konvensional yang menyertai SPI yang diperkenalkan kerajaan.[xxxii] Apa yang jelas, sistem perbankan Islam di Malaysia semakin berkembang daripada masa ke semasa. Ini juga selaraskan dengan aspirasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai hub perbankan dan kewangan Islam yang terulung di dunia.


[i] Mahmood Zuhdi Abdul Majid (1997), Undang-Undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur : Universiti Malaya, hal. 48

[ii] Antara undang-undang tersebut ialah seperti undang-undang Johor, Undang-Undang Kedah, Undang-undang Pahang dan Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan. [M.B Hooker (ed.) (1998), The Law of South East Asia, Vol. 1, Butterworth & Co (Asia), hal. 81; Abu Hassan Mohd Adam (1973), Adakah Hukum Kanun Melaka Mempengaruhi Undang-Undang Melayu Lama, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka, hal 149-150]

[iii] Abu Bakar Abdullah (1986), Ke arah Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia : Masalah dan Penyelesaiannya, Kuala Lumpur : Pustaka Damai, hal. 58

[iv] Hamid Jusoh (1992), Kedudukan Undang-undang Islam Dalam Perlembagaan Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka, hlm. 52

[v] Dari sudut bahasa al-bay’ ialah jual beli dan al-Wafa’ beerti pelunasan atau penunaian hutang. Ulama’ mentakrifkan ia sebagai jual beli yang dilakukan oleh dua pihak yang terdapat syarat bahawa barangan yang diakadkan itu boleh dibeli semula oleh penjual apabila tamat tempoh masa tertentu yang dipersetujui bersama. Dalam tempoh itu juga, pembeli boleh mengguna barang tersebut (misalnya tanah). Jika tempoh yang dijanjikan penjual gagal untuk membeli semula hartanya, ia akan berpindah milik kepada pembeli. [Joni Tamkin Borhan (2001), op. cit., hal. 138-139]

[vi] Salleh Buang (1989), The Law of Property in Malaysia : Prospect For Islamisation, International Islamic University Malaysia Journal, Vol. 1(1), hal. 98

[vii] Norhasyimah Mohd Yassin (1996), Islamisation / Malaynisation : A Study in the Roles of Islamic Law in the Economic Development of Malaysia 1963-1993, Kuala Lumpur : A.S Noordeen, hal. 264

[viii] Joni Tamkin Borhan (2005), Pelaksanaan Prinsip-Prinsip Syariah Dalam Amalan Perbankan Islam di Malaysia, dlm Abdullah Alwi Hj Hassan (Ed.), Teori dan Aplikasi Kontemporari Sistem Ekonomi Islam di Malaysia, Kuala Lumpur : Utusan Publication, hal. 42

[ix] (1951) 1 MLJ

[x] Norhasyimah Mohd Yasin, op. cit., hal. 265

[xi] (1968) 1 MLJ 186

[xii] Norhasyimah Mohd Yasin, op. cit., hal. 264

[xiii] Maysami, R.C & Valarie Low (1998), One Country Two System : Banking in Malaysia, Journal in Business Law, hal. 233

[xiv] Zamri bin Hassan (2002), Islamic Banking : Its Legal Impediments and Reformation With Special reference to Malaysia, Law Majalla, Jil. 1, hal. 96

[xv] Ia merupakan usaha kerajaan yang menerima kertas kerja yang bertajuk ‘Rancangan membaiki ekonomi bakal-bakal haji’ oleh Prof. Diraja Ungku Aziz. Ia mengandungi cadangan supaya menubuhkan institusi kewangan untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi bakal haji dan operasinya berdasarkan kepada konsep pelaburan dan keuntungan berlandaskan Islam. [Mohd Lokman Abdul Mutalip (2006), Islamic Banking : Growth and Institutional Framework, dlm M. Fazilah Abdul Samad (Ed.), The Malaysian Financial System An Overview, Kuala Lumpur : Universiti Malaya, hal. 6]

[xvi] Joni Tamkin Borhan (2005), op. cit., hal. 44

[xvii] Ibid.

[xviii] Antara tokoh reformis yang mengislamisasikan dunia ialah seperti Hamaluddin al-Afghani (1839-1897), Muhammad Abduh (1849-1905), Rashid Rida (1865-1935), Muhamad Iqbal (1875-1938), Hassan al-Banna (1906-1949), Sayid Qutb (1906-1966) dan Abu A’la al-Maududi (1903-1979)

[xix] Mohd Lokman Abdul Mutalip, op. cit.

[xx] Seruan tersebut hasil daripada resolusi yang diluluskan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada 1980 dan satu seminar bertajuk ‘Seminar Kebangsaan Konsep Pembangunan Dalam Islam’ yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Mac 1981 [Joni Tamkin Borhan (2001), op. cit., hal. 141; BIMB, op. cit., hal. 3 ; Sudin Haron, op. cit., hal. 20]

[xxi] BIMB, op. cit., hal. 4

[xxii] Zamri bin Hassan, op. cit., hal. 97

[xxiii] Akta 276 [Dalam bahasa Inggeris disebut Islamic Banking Act 1983 (IBA) ]

[xxiv] Sudin Haron, op. cit., hal. 21

[xxv] Ibid. ; Hussin Salamon (2004), The Islamic Banking System in Malaysia : Concept, Operation, Challenges and Prospects, dlm Bala Shanmugam & Vignesen Perumal & Alfieya Hanuum Ridzwa, Islamic Banking : An Internatinal Perspective, Selangor : Universiti Putra Malaysia Press, hal. 76 ; al-Omar, Fuad & Mohamed Abdel Haq, op. cit., hal. 85 ; BNM (1984), Money and Banking in Malaysia, Kuala Lumpur : Bank Negara Malaysia, hal. 191 ; Zainal Amin Ayub, Mohammad Azam Hussain, Nurretina Ahmad Shariff & Hassan Ali, op. cit., hal. x

[xxvi] BNB (1999), Bank Negara Malaysia dan Sistem Kewangan di Malaysia Perubahan Sedekad 1989-1999, Kuala Lumpur : Bank Negara Malaysia, , hal. 5 ; Sudin Haron, op. cit., hal. 22

[xxvii] BNM (1999), op. cit., hal. 275 ; al-Omar, Fuad & Mohamed Abdel Haq, op. cit., hal. 86 ; Ab. Mumin Ab. Ghani, op. cit., hal. 335-340

[xxviii] Bank tersebut ialah Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB), United Malayan Banking Corporation (UMBC) dan Malayan Banking (Maybank). Bagi menyertai skim ini, bank tersebut perlu mematuhi keperluan skim ini seperti menubuhkan Unit Perbankan Islam yang diketuai seorang pegawai kanan bank beragama Islam, mewujudkan Dana Perbankan Islam, membuka akaun semasa atau penyelesaian yang berasingan bagi operasi perbankan Islam di BNM, mendaftar sebagai ahli tidak langsung di dalam sistem pembayaran SPEEDS (RENTAS) dan mematuhi sistem penjelasan cek yang berasingan bagi perbankan Islam. Bank juga perlu menyediakan lejar am yang berasingan bagi perbankan Islam.

[xxix] BNM, op. cit., hal. 276

[xxx] Bank ini ditubuhkan hasil penggabungan Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) dan Bank of Commerce Malaysia Berhad yang akhirnya melahirkan Bumiputera-Commerce Bank Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad

[xxxi] Joni Tamkin Borhan (2005), op. cit., hal. 50

[xxxii] Terdapat juga beberapa penulis meletakkan bentuk yang ketiga diamalkan oleh institusi perbankan Islam di Malaysia iaitu pasaran wang antara bank Islam. [Awang Adek Husin (2000), Islamic Financial Lanscape in Malaysia, Kertas Kerja dibentangkan dalam Seminar Ekonomi Islam di Abbad ke-21, Kuala Lumpur, 9-12 Ogos 2000, hal. 1 ; Sudin Haron, op. cit., hal. 22]

About these ads

5 Responses to “SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN SISTEM PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA”

  1. asyikin said

    A’salam..
    macamana saya nak dapatkan info berkenaan strategi pengurusan perbankan islam dalam memperkukuhkan lagi kedudukan mereka di malaysia?

  2. mia said

    =)))….

  3. ahli pengkaji sejarah said

    assalamualaikum..saya hendak dapatkan sejarah penubuhan bank dan institusi kewangan di malaysia mengikut tahun..dimana saya boleh dapatkan

  4. Jual Beli Kaskus Online…

    [...]SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN SISTEM PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA « S y a r i a h & Law in MALAYSIA – Version 2.0 -[...]…

  5. pelajar sekolah said

    assalamualaikum..macam mana saya nak tahu perkembangan perbankan islam di cimb bank..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers

%d bloggers like this: