S y a r i a h & Law in MALAYSIA – Version 2.0 -

اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

  • Sumbangan Artikel

    Saya mengalu-alukan kepada semua pengunjung laman web ini untuk menyumbangkan sebarang artikel ilmiah berkaitan Undang-undang Syariah di Malaysia. Sila hantar artikel kepada email saya syafiqe@gmail.com. Sila tulis nama penuh anda berserta jawatan atau penuntut di institusi mana sekiranya ada.
  • KEMUKAKAN KEMUSYKILAN ANDA

    Sebarang pertanyaan berkaitan isu-isu melibatkan perundangan dan pentadbiran Islam di Malaysia samaada undang-undang keluarga Islam, Jenayah Islam, Perbankan dan Kewangan Islam dan sebagainya boleh kemukakan persoalan di bahagian "KEMUKAKAN PERSOALAN ANDA". Hanya soalan yang terpilih sahaja akan disiarkan.
  • UNDIAN

  • BLOG STATS

    • 315,371 pengunjung
  • web stats
  • Subscribe

MEMAHAMI KONSEP TANGUNGAN KERAS (Strict Liability)- KESALAHAN JENAYAH TANPA NIAT JAHAT

Posted by syafiqe on July 1, 2008

Tulisan ini pada dasarnya akan menjelaskan secara ringkas berkaitan konsep tanggungan keras yang terdapat dalam undang-undang jenayah di England dan diterimapakai di negara ini. Menurut undang-undang jenayah, terdapat dua unsur yang membolehkan seseorang itu dikenakan tanggungjawab jenayah (convicted) iaitu perbuatan jahat (actus reus) dan juga niat (mens rea). Walaubagaimanapun, undang-undang jenayah juga telah menetapkan satu bentuk kaedah yang membolehkan seseorang itu disabitkan dengan sesuatu kesalahan tanpa dengan adanya unsur mens rea (niat) itu.

Maka berdasarkan itu, tanggungan keras(strict liability) dibolehkan bagi beberapa kesalahan-kesalahan yang tertentu. Oleh yang demikian, bagi mensabitkan kesalahan di bawah tanggungan keras, mahkamah hanya perlu membuktikan bahawa wujud unsur actus reus sahaja. Dengan kata yang lebih mudah, apabila wujud sahaja actus reus, maka sudah memadai bagi mahkamah mengenakan hukuman pada seseorang itu.

Pemakaian tanggungan keras hanya terpakai bagi kesalahan-kesalahan tertentu sahaja yang melibatkan bagi memelihara masyarakat daripada terdedah kepada bahaya. Ia lebih melibatkan kesalahan yang melibatkan aspek kemasyarakatan(public interest). Sesuatu kesalahan itu menjadi tanggungan keras apabila ianya bertentangan dengan hak masyarakat dan ketenteraman awam seperti berlakunya pencemaran begitu juga kesalahan seperti memandu laju melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan.Begitu juga contohnya sekiranya seseorang penunggang motosikal tidak memakai topi keledar keselamatan atau tidak membawa lesen, tertuduh tetap boleh disabitkan bersalah walaupun tidak wujud elemen ‘mens rea’ atau berniat jahat.

Tanggungan keras membuatkan seseorang itu berwaspada dan berhati-hati terhadap perbuatan-perbuatan mereka yang berkaitan dengan kepentingan keselamatan masyarakat. Mungkin tanggungan ini lebih sesuai bagi peniaga dan penjual supaya berhati-hati apabila menjual produk mereka kepada orang awam. Antara kes-kes berkaitan tanggungan keras ialah kes Reg lwn Woodrow[1] di mana tertuduh bersalah kerana menjual tembakau yang tidak baik dan telah buruk walaupun tidak mengetahui keadaan tembakau itu. Hakim Thomson semasa memetik kes ini dalam penghakimannya menyatakan bahawa sesuatu yang melibatkan kepentingan awam melebihi kepentingan individu, maka niat dan pengetahuan untuk melakukan jenayah tersebut tidak begitu mustahak dibuktikan untuk menyabitkan tertuduh bersalah. Apa yang penting di sini ialah sama ada tertuduh tahu atau tidak, tertuduh mesti mengambil berat dan tahu tentang perkara-perkara tersebut.

Di dalam kes lain pula, dalam kes Mohd Ibrahim lwn PP dimana perayu ditahan dan dituduh di bawah Seksyen 293 Kanun Keseksaan kerana menjual buku “Tropic of Cancer” dan dia telah memberi alasan bahawa dia tidak mampu berbahasa Inggeris dan mengetahui buku itu adalah lucah. Perayu telah menjual 35 buah buku itu. Hakim memutuskan bahawa rayuan ditolak kerana buku itu adalah lucah walaupun dia tidak mengetahuinya.

Di samping itu, tanggungan keras memudahkan tanggungjawab polis dan pendakwaraya dalam menentukan mens rea bagi sesuatu kesalahan jenayah. Ini kerana contohnya sekiranya seorang pegawai penguatkuasa kerajaan tempatan menyaman seorang pemilik kereta kerana tidak meletakkan kereta di tempat yang sepatutnya, tanpa melihat pada mens rea pemilik kereta itu sama ada mempunyai niat atau tidak. Ini kerana adalah sangat sukar sekiranya penguatkuasa itu untuk melihat pada mens rea seseorang. . Tanggungan keras juga dapat memudahkan proses pendakwaan di mahkamah. Ini kerana pendakwaraya tidak perlu membuktikan kewujudan elemen niat jahat pada tertuduh. Dalam kes PP lwn Darmalingam[2], tertuduh bersalah kerana memiliki 9.39 gram heroin di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan dihukum penjara 5 tahun dan 6 kali sebatan. Pendakwaraya merayu terhadap hukuman itu dan berpendapat bahawa hukuman tersebut tidak memadai kerana kesalahan tersebut amat berat dan merbahaya kepada kepentingan masyarakat. Mahkamah memutuskan hukuman dinaikkan kepada 10 tahun penjara dan 12 sebatan.

Tanggungan keras terpakai apabila melibatkan kes-kes yang berkaitan dengan ketenteraman dan kepentingan awam. Dalam kes Alphacell Ltd. Lwn Woodward[3]. Dalam kes ini, tertuduh besalah kerana menyalurkan sisa-sisa tercemar disalurkan ke sungai. Ini bertentangan dengan Seksyen 2(1)(a) Rivers (Prevention of Pollution) Act. Dalam kes ini, tertuduh telah membina dan mengusahakan tangki-tangki pengendapan yang mempunyai saluran untuk limpahan masuk sunai dan menyediakan pam-pam yang direka khas untuk menghalang sebarang limpahan. Tetapi pam-pam itu telah tersekat oleh tumbuhan-tumbuhan liar maka menyebabkan limbahan pun berlaku. Tidak terdapat bukti bahawa pencemaran tersebut sememangnya terjadi ataupun mereka telah cuai. Dalam kes ini, unsur mens rea diketepikan. Ini kerana jika mens rea perlu dibuktikan, maka sudah tentu hukuman tidak boleh disabitkan dan pencemaran akan terus berleluasa.

Dalam kes Seah Eng Joo lwn R[4] perayu ialah seorang yang berada di bawah pengawasan polis di bawah Seksyen 47 (b) Ordinan Undang-Undang Jenayah 1955. Perayu dikehendaki tinggal di dalam rumahnya daripada pukul 7 petang hingga 7 pagi. Walaubagaimanapun menurut perayu, pada hari kejadian dia berada di sebuah bar sebelum 7 petang dan telah mabuk serta dihantar pulang pada jam 9.30 malam. Perayu membela diri dengan menggunakan dalihan mabuk di bawah Seksyen 86 Kanun Keseksaan. Mahkamah Tinggi berpendapat walaupun cerita itu benar, tetapi oleh kerana Seksyen 49A(3) ordinan itu menyatakan bahawa seseorang yang tidak patuh kepada arahan adalah dikira melakukan kesalahan. Mahkamah memutuskan untuk mengenepikan mens rea dengan alasan kepentingan awam perlu dijaga. Kewujudan actus reus sahaja sudah memadai.

Dalam kes PP lwn Osman bin Appo Hamid & Anor[5], tertuduh dituduh di bawah Seksyen 29(1) Peraturan Lembaga Padi dan Beras Negara-Peraturan Negeri Terengganu kerana membawa beg-beg beras melebihi had minimum yang diizinkan oleh permit. Kedua-dua tertuduh mendakwa bahawa mereka tahu bahawa mereka membawa 130 beg beras tetapi menafikan bahawa mengetahui permit memperuntukan hanya 80 buah beg beras sahaja yang harus dibawa. Mahkamah memutuskan bahawa mereka disabitkan bersalah kerana berdasarkan statut dan peraturan yang dibuat, unsur mens rea diketepikan dan hanya perbuatan diambil kira. Ini kerana kerajaan perlu mengekalkan kestabilan harga padi dan beras serta mengimbangi pengagihannya ke pelbagai tempat demi kepentingan awam.

Tanggungan keras tidak menerima sebarang bentuk dalihan am. Dalam kes Abdullah lwn R[6], perayu telah dituduh merogol seorang budak perempuan. Semasa perbicaraan, telah terbukti bahawa perayu bersalah di bawah Seksyen 375(f) Kanun Keseksaaan kerana mangsa adalah berumur 14 tahun. Perayu cuba membawa dalihan bahawa dia pada mulanya merasakan ketika itu gadis itu berumur lebih 16 tahun kerana tubuh badannya yang agak besar berbanding budak seumur dengannya. Mahkamah memutuskan kepercayaan perayu tidak boleh diambil kira dan menolak dalihan silap fakta itu kerana hakikat bahawa dia melakukan terhadap budak itu bawah umur adalah merupakan satu kesalahan.

Bagi kes Sulong bin Nain lwn PP[7] pula, perayu menghadapi tuduhan membawa senjata api yang bertentangan dengan seksyen 3(1) di bawah Arahan Awam dan Pengisytiharan Keselamatan 1946. Kesalahan tersebut ialah satu larangan keras dan mutlak. Perayu dalam huahnya mengemukakan dalihan silap fakta di bawah Seksyen 79 Kanun Keseksaan. Namun, mahkamah menolaknya dan menyatakan bahawa sekiranya seseorang dengan sengaja telah membawa senjata, dengan ini tiada lagi kesilapan fakta yang boleh diterima dalam perundangan. Oleh itu seseorang itu memang telah tahu dia membawa senjata dan sekaligus sememangnya berniat membawa senjata itu.

Oleh yang demikian, penulis merasakan adalah perlu bagi pemakaian tanggungan keras bagi kes-kes tertentu. Ini kerana ianya ternyata ada kebaikannya terutamanya sekali bagi memelihara kepentingan awam (public interest) agar tidak tergugat. Seperti mana yang telah disebut penulis, sekiranya semua kesalahan memerlukan unsur mens rea sebagai pembuktian, maka sudah tentu kesalahan yang sukar dibuktikan unsur tersebut dapat disabitkn dengan hukuman.

Wallahu A’lam…

RUJUKAN

  1. Anita Abdul Rahim (2000), Jenayah Homisid, Kuala Lumpur:Golden Book Centre
  2. AP Simester & GR Sullivan (2003), Criminal Law Theory and Doctrine, Edisi Ketiga, Oxford: Hart Publishing
  3. Collin Howard (1963), Strict Responsibility, London : Sweet& Maxwell
  4. Catherine Elliot & Frances Quinn (2006), Criminal Law, Edisi Keenam, London: Pearson
  5. Kamus Undang-Undang (2004), Selangor:Fajar Bakti Sdn. Bhd.
  6. K L Koh & CMV Clarkson & NA Morgan(1989), Criminal Law in Singapore and Malaysia
  7. Molly Cheang (1990), Criminal Law of Malaysia and Singapore Principles of Liability, Kuala Lumpur : Profesional (law) Books Publisher
  8. Nor Haslinda Hussain (2003), Tanggungan Keras:Satu Kajian Perbandingan Antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Islam, Latihan Ilmiah, Kuala Lumpur:Universiti Malaya
  9. Osborn, Percy George (1993), Osborn’s Concise Law Dictionary, London : Sweet& Maxwell
  10. Smith & Hogan(1996), Undang-Undang Jenayah, Bahagian 1, Prinsip Umum, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Pustaka

[1] 15 M&W, 404

[2] (1987) 2 MLJ 519

[3] (1972) AC 824

[4] (1961) MLJ 252

[5] (1978) 2 MLJ 38

[6] (1954) MLJ 195

[7] (1947) MLJ 138

About these ads

4 Responses to “MEMAHAMI KONSEP TANGUNGAN KERAS (Strict Liability)- KESALAHAN JENAYAH TANPA NIAT JAHAT”

  1. segar said

    tk ,satu rencana yang bagus

  2. cik lula said

    yea..good input 4 me:)

  3. situ said

    tq, satu artikel yg membantu

  4. Bukan_Nama_Sebenar said

    Saya nak tanya. Saya ada bukti kukuh pelaku Mahkamah Tinggi Syariah telah memalsukan rekod mahkamah yang mana menyatakan sesuatu yg saya tidak buat di dalam Mahkamah tetapi dinyatakan disebaliknya di dalam rekod mahkamah.

    Saya percaya dan yakin, pelaku telah memalsukan rekod mahkamah dan pada pandangan saya adalah satu perbuatan jahat (actus reus).

    Adakah ini boleh dijadikan TANGUNGAN KERAS (Strict Liability), lebih2 lagi berlaku di Mahkamah Tinggi Syariah dan ianya melibatkan kepentingan awam (public interest) juga.

    Terus terang, saya amat terkejut ianya telah berlaku terhadap saya berhubung kes saya di Mahkamah Syariah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 51 other followers

%d bloggers like this: